بسم الله الرحمن الرحي
Assalamualaikum wbt...
Jumpa lagi di diari maya ini. Tempat meluah perasaan. Emm, sesuai sangatlah dengan apa yang aku nak coretkan sebentar lagi. Semalam dan hari ini mood sangat-sangatlah tidak stabil. Dua, tiga hari ni rasa tekanan yang amat sangat. Rasa macam terduduk dan terus terjatuh. Emm, kerjaya guru HARI INI sangatlah mencabar terutama sekali mencabar nilai dalam diri yang dipanggil SABAR. Jadi cikgu zaman sekarang kalau tak ada sabar memang kita akan cepat je rasa nak mengalah dengan macam-macam dugaan yang kita langsung takkan pernah jangka. Aku pun tak pernah terjangka sampai macam ni sekali cabaran dalam usaha mendidik pelajar generasi 2020 ni. Sabar paling perlu bila berhadapan dengan tingkah laku pelajar yang kadang-kadang sangat tidak masuk akal ataupun boleh dikatakan "kurang ajar" kepada guru.
Ye, aku bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Macam mana semalam kesabaran aku teruji dan diuji dek seorang pelajar yang sememangnya belum cukup matang. Aku masuk dan mengajar di kelasnya macam biasa. Habis masa aku pun keluar dari kelas dia. Dan aku keluar agak tergesa-gesa juga sebab aku kena masuk mengajar di kelas yang seterusnya. Dalam tergesa-gesa berjalan tu aku rasa macam nak terjatuh sebab rasa ada orang yang "tackle" kaki aku. Dan sebelum itu aku maklum yang ada pelajar berjalan di belakang aku. Spontan aku pusing belakang dan tengok dia hanya tersengih dan memang spontan jugaklah tangan ni naik kat bahu dia. Dia cakap dia hanya bergurau. Perasaan aku? Haruslah aku marah. Terfikir aku, "Apakah dia menganggap aku ini rakannya?"
Dan harus aku akui yang pelajar sekarang sememangnya telah semakin terhakis dan terhapus nilai menghormati guru dalam diri mereka. Tiada lagi rasa takut kepada guru. Sedih. Aku boleh bayangkan disiplin pelajar pada masa akan datang. Tapi sebenarnya, bila keadaan jadi macam ni, gurulah yang perlu mainkan peranan yang lebih. Terapkan balik nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Tapi, itulah yang menjadi cabarannya sekarang ni. Bagaimana? Emm, sungguh mencabar.
Dan kepada pelajar itu, aku tak pernah sedikit pun berdendam dengannya. Namun, aku perlu juga mengambil tindakan disiplin dengan melaporkan perbuatannya kepada pengetua dan lebih-lebih lagi kepada guru disiplin supaya dia sedar bahawa tindakannya itu salah. Andai aku biarkan, tidak mustahil perkara yang sama akan berulang lagi kerana dia mungkin mempunyai anggapan "Oh, cikgu ni ok dan boleh dibawa bergurau". Aku memaafkan perbuatannya. Benar aku terkilan, terluka dan terguris dengan perbuatannya namun seiring dengan masa, aku harap aku mampu melupakan apa yang dipanggil sebagai kenangan pahit ini. Mungkin. Aku harap ia akan menjadi kenangan manis untuk aku kenang bila sampai penghujungnya nanti. Ya, saat aku dapat melihat kejayaan anak didikku suatu hari nanti. Pasti. InsyaALLAH.
**sungguh rasa tersentuh sangat hati ni saat entry ni ditulis**
Sekian, Wassalam.
No comments:
Post a Comment